Khamis, 31 Julai 2008

KUALA LUMPUR 31 Julai — Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh berkuatkuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Wan Azizah, 55, berkata, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatannya itu hari ini kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini yang turut dihadiri Anwar dan anak mereka, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai, Wan Azizah berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan kepimpinan PKR dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Wan Azizah, yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, adalah wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi tersebut diwakili oleh Anwar.

Wan Azizah berkata, beliau akan mengekalkan jawatan Presiden PKR manakala penggantinya sebagai Ketua Pembangkang akan ditentukan Pakatan Rakyat.

Anwar, 60, pula berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada isterinya yang telah sanggup melepaskan kerusi itu walaupun ia bukan satu perkara yang senang untuk dilakukan.

Beliau berkata, keputusannya untuk bertanding di Permatang Pauh adalah kerana ianya merupakan kerusi yang selamat baginya walaupun beliau ditawarkan beberapa kerusi Parlimen yang lain, termasuk kerusi Bandar Tun Razak yang disandang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Gombak yang diwakili Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958, kerusi Parlimen itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari mulai dari tarikh ia dikosongkan.

Anwar mewakili kerusi Parlimen Permatang Pauh sebagai wakil Barisan Nasional dari tahun 1982 sehingga beliau dipecat daripada UMNO pada September 1998, dan menjadi anggota Parlimen bebas sehingga dihukum penjara enam tahun kerana tuduhan rasuah.

Disebabkan hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya, Anwar yang dibebaskan pada September 2004, tidak layak bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Menyentuh mengenai pengumumannya baru-baru ini untuk bertanding kerusi Parlimen Kulim Bandar Baru, Anwar berkata, proses petisyen pilihan raya kerusi itu akan memakan masa untuk diselesaikan.

“Setelah berunding dengan keluarga, (Anggota Parlimen Cheras dari DAP, Tan) Kok Wai, (Anggota Parlimen Ipoh Timur, Lim) Kit Siang dan (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim) Guan Eng serta (Presiden Pas, Datuk Seri) Hadi Awang dan rakan-rakan di Permatang Pauh, mereka bersetuju untuk saya tawarkan diri,” katanya

Di KOTA KINABALU, Pandikar Amin memberitahu bahawa beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kerusi itu bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari.

Mengenai pengganti Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang, beliau berkata, itu terpulang kepada Pakatan Rakyat untuk menentukan.

“Pakatan Rakyat boleh memilih untuk melantik Ketua Pembangkang dalam masa terdekat, iaitu pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula pada 18 Ogos ini, atau menunggu sehingga pilihan raya kecil Permatang Pauh selesai,” katanya.

– Bernama

Jumaat, 25 Julai 2008

Ayam den lapeh

Blog ini bernama sempena lagu etnik Minang yang masyur. Lagu yang mengisahkan kekecewaan penyanyi tentang kehilangan sesuatu yang amat disayanginya. Lagu ini dalam dialek Minang.