Rabu, 3 September 2008

Fenomena Y2K dan 16 September




Masih ingat lagi Y2K. Masih ingat lagi bagaimana debaran kita sebagai pengguna komputer menunggu ketibaan tahun 2000. Kepada pembaca-pembaca yang muda dan masih samar-samar pada waktu itu, saya terangkan serba ringkas tentang 2YK. Pada tahun 2000 dijangkakan program komputer akan berhenti beroperasi atau komputer menghasilkan ralat. Ini kerana komputer hanya mengira unit tahun dalam 2 digit dan tahun 2000 akan dicatatkan sebagai 00. Apabila tahun 2000 dicatatkan sebagai 00 komputer akan keliru dan membacanya sebagai tahun 1900. Oleh kerana kekeliruan ini maka data yang dihasilkan komputer menjadi salah. Demikinalah serba ringkas mengenai masalah Y2K.

Menjelang tahun 2000 semua firma-firma dan orang perseorangan bersiap sedia dengan penuh debaran untuk melihat apakah akan terjadi pada hari pertama tahun 2000. Kerajaan, bank-bank, syarikat kewangan , bursa saham mempersiapkan sistem mereka dengan memasang perisian millinium bug pada system komputer masing-masing untuk mengatasi masalah ini.

Di mana sahaja orang akan bercakap tentang perkara ini. Orang bercakap tajuk ini di warung kopi, di Plaza Imbi, malah ada rancangan khas di TV. Oleh kerana begitu lumrahnya perkataan ini ada firma mengambil kesempatan menggunakan 2YK sebagai jenama produk mereka..

Kepada pemilik komputer seperti saya, yang hanya menggunakan komputer sebagai pengganti mesin taip tidak banyak khuatir tentang masalah ini. Paling buruk mungkin saya akan kehilangan data yang tidak begitu berharga. Saya juga mungkin kehilangan kehilangan komputer lama. Ini mungkin menjadi alas an saya kepada isteri saya untuk membeli komputer.

Hari ini orang menunggu 16 September dengan penuh debaran seperti menunggu hari pertama tahun 2000. Firma-firma besar, syarikat kewangan, bank-bank dan bursa saham menunggu tarikh ini dengan penuh debaran. Hari ini seorang pemimpin berjanji untuk mengambil alih kerajaan Malaysia. Apabila berlaku peralihan kuasa maka banyak perkara yang akan berubah. Oleh itu, firma-firma, bank syarikat kewangan berusaha untuk melengkapkan dasar mereka supaya dapat beroperasi apabila peralihan kuasa berlaku. Seperti juga menanti Y2K, kehadiran 16 September ditunggu dengan penuh kesamaran. Banyak perkara yang tidak dapat dijangkakan.

Sekali lagi saya sebagai insan kerdil tidak banyak khuatir dengan ketibaan tarikh ini. Tidak seperti firma-firma dan syarikat kewangan atau kontraktor kelas A, saya hanya manusia kerdil yang bekerja untuk meneruskan hidup. Keperluan untuk diri sendiri dan seorang isteri. Ramai lagi yang lain yang menanti dengan penuh debaran tanpa memperduli sebarang kesan atau menaruh sebarang harapan.

Tiada ulasan: