Isnin, 1 September 2008

Tiada Sambutan Kemerdekaan Tahun Hadapan.


Kita telah merayakan hari ulangtahun kemerdekaan kita sebanyak 51 kali. Pelbagai jenis tema yang telah kita cipta untuk merayakan hari kemerdekaan ini. Bagi kita tanggal 31 Ogos merupakan tarikh penting kerana pada hari inilah kita mencapai mencapai kemerdekaan. Pada hari inilah kita membuat pengkisahan tentang kejayaan kita menghalau Inggeris keluar dari tanah air kita. Kita bercakap tentang kejayaan kita, kita bercakap tentang kenangan kita. Namun demikian kita lupa bahawa siapakah kita sekarang ini. Kita masih terikut cara kita dari tahun 1957. Kita tidak memberi perhatian kepada tahun 1963 apabila kita berkahwin dua. Sabah dan Sarawak sudah menjadi sebahagian daripada kita sejak tahun 1963.

Apakah erti tarikh ini kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Adakah rakyat Sabah dan Sarawak dapat menghayati apa yang kita kisahkan tentang hari kemerdekaan. Sabah dan Sarawak tidak merdeka pada tarikh itu. Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah kemerdekaan sendiri. Tetapi sejarah perjuangan mereka itu tidak dijadikan satu titik sejarah dalam Malaysia. Tidak ada sambutan dan tidak ada sorak sorai memperingati kemerdekaan Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, memang ada lojiknya jika YB Anwar Ibrahim mencadangkan supaya hari penubuhan Malaysia pada16 September dijadikan hari cuti umum. Saranan ini pada kebanyakan orang dilihat sebagai glukosa untuk memberi tenanga kepada YB dari Sabah dan Sarawak melompat ke dalam tongkan Pakatan Rakyat.

Hari penubuhan Malaysia dianggap lebih penting daripada hari kemerdekaan Tanah Melayu. Hari penubuhan Malaysia dapat disambut oleh semua golongan di Malaysia sedangkan hari kemerdekaan hanya dapat dihayati oleh rakyat semenanjung sahaja.

Dalam hal ini dua keistimewaan terpaksa kita korbankan. Pertamanya kita terpaksa mengorbankan konsep ketuanan Melayu dan kita juga harus mengorbankan konsep ketuanan semenanjung demi perpaduan seluruh rakyat Malaysia.

Jika Pakatan Rakyat memerintah, mungkin kita tidak akan menyambut hari kemerdekaan yang ke 52, tetapi kita akan gantikan dengan sambutan hari Malaysia pada 16 September setiap tahun. Mungkin juga Tugu Peringatan Negara juga akan diganti dengan sesuatu yang lebih menyeluruh.

Tiada ulasan: